Monday, May 18, 2015

Program Jom Imarah Masjid Rahmaniah Kampung Pusa

PENDIDIKAN ISLAM SEPANJANG HAYAT
PROGRAM JOM IMARAH MASJID
MASJID RAHMANIAH KAMPUNG PUSA
16 & 17 MEI 2015
SEMPENA ISRAK MIKRAJ
ANJURAN KOLEJ KOMUNITI BETONG, KPM
BERSAMA ADUN N24 BETING MARO, YB HJ RAZAILI HJ GAPOR


            Kolej Komuniti Betong meneruskan lagi tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat Bahagian Betong melalui Pendidikan Islam Sepanjang Hayat. Kali ini program yang dianjurkan adalah “JOM IMARAH MASJID KG PUSA”.
            Program ini dilaksanakan selama dua hari iaitu pada 16 & 17 Mei 2015 sempena menyambut peristiwa Israk dan Mikraj. Pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan antaranya adalah kursus-kursus pendek seperti penyembelihan HALAL, masakan Nasi Dagang, Pembuatan Bun, Pembuatan Kek dan Dekorasi Kek, Pembuatan Produk Soya dan Pembuatan Simen Fero.
            Seramai 332 orang peserta telah hadir untuk mengikuti kursus yang dianjurkan. Selain dari kursus-kursus pendek yang dianjurkan, pihak Kolej Komuniti Betong juga telah berkerjasama dengan pihak Jabatan Kesihatan Betong untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti setempat. Program ini melibatkan pelbagai pihak seperti Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Kesihatan Betong, ADUN N24 Beting Maro dan JK Masjid Rahmaniah Kampung PUSA. Program ini merupakan program kedua selepas program PISH di Kampung Beladin pada 28 Februari dan 1 Mac 2015 yang lalu. Sambutan komuniti setempat sangat menggalakkan.
            Pada hari pertama pengisian aktiviti dimulakan dengan kursus pendek penyembelihan HALAL yang dikendalikan oleh Ustaz Affandi Ismail dari JAIS, bagi kaum ibu kursus masakan Nasi Dagang dikendalikan oleh Hajah Latifah Yasok dan pembuatan Bun dikendalikan oleh Cik Nur Ain Aulia manakala kaum lelaki pula kursus pembuatan simen fero dikendalikan oleh pensyarah dari Kolej Komuniti Encik Adi Faiz bin Ramlan. Pada sebelah malam dijalankan pula cermah agama Israk Mikraj oleh pegawai dari JAIS yang turut dihadiri oleh ADUN N24 YB Hj Razaili Hj Gapor. Pada hari kedua, program diteruskan dengan kursus pendek pembuatan produk soya dan dekorasi kek bagi kaum ibu.

            Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh ADUN N24 Beting Maro, Hj Razaili Hj Gapor. Dalam ucapan beliau menyeru komuniti Kg Pusa memanafaatkan ilmu yang diperolehi dengan memulakan perniagaan. Yang Berhormat memaklumkan bahawa pada bulan Ramadhan akan diwujudkan Bazar Ramdahan untuk memberi peluang penduduk Kg Pusa mengaplikasikan apa yang telah dipelajari seperti menjual air soya, tauhu, nasi dagang, cup cake,bun dan sebagainya. Yang Berhormat juga berharap agar kerjasama yang dijalinkan di antara agensi bagi menjayakan program ini dapat diteruskan untuk program yang seterusnya bagi Kampung lain di DUN N24 Beting Maro. Sesungguhnya program ini amat bermanafaat kepada komuniti setempat. Sebelum itu ucapan alu-aluan oleh wakil Pengarah Kolej Komuniti Betong yang juga merupakan Penyelaras Program Pendidikan Sepanjang Hayat, Encik Fadil bin Aziz menyeru agar komuniti setempat memanafaatkan kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan seperti peluang belajar sepenuh masa di Kolej Komuniti Betong di dalam bidang Lukisan Senibina yang akan membuat pengambilan pelajar baru pada hujung bulan Jun ini. Bantuan kewangan akan diberikan kepada pelajar yang layak.













Tuesday, May 12, 2015

Kursus di Sk Kg Buda

Terima kasih kepada staf yang sangat dedikasi dalam melaksanakan kursus untuk komuniti Kg Buda. Walaupun terpaksa bersampan. Akhirnya selesai jua program.
Kursus ini adalah anjuran bersama Kolej Komuniti Betong dan YB Razi. Seramai 37 orang peserta telah menghadiri kursus selama 2 hari. Sangat memberi manafaat kepada peserta kerana mereka boleh menyediakan sendiri bun dan produk soya tanpa bergantung dari orang luar. Disamping itu mereka boleh menambah pendapatan keluarga. Reaksi positif diberikan oleh para peserta yang hadir yang rata-rata menyatakan bahawa kursus ini amat berfaedah dan berguna kepada mereka. Sokongan dari pihak sekolah SK Kg Buda membolehkan kursus dilaksanakan dengan jayanya. 







Kesukaran untuk sampai ke Kg Buda tidak mematahkan semangat staf Kolej Komuniti Betong yang terpaksa memunggah kelengkapan memasak menggunakan sampan.