Tuesday, February 26, 2013

KARNIVAL KOLEJ KOMUNITI BETONG 2013

Karnival Kolej Komuniti Betong 2013 merupakan karnival yang julung kalinya diadakan bagi mempromosikan Kolej Komuniti kepada masyarakat setempat. Karnival tersebut telah dijalankan pada 23 dan 24 Februari 2013 yang lalu. Kolej Komuniti yang terkenal dengan slogan “Peneraju Komuniti Berilmu dan Berkemahiran” telah mengisi karnival dengan kursus-kursus pendek. Antara kursus-kursus pendek yang terlibat ialah kursus pembuatan simen fero, kursus pembuatan muffin dan cup cake, Kursus jahitan manik, kursus jahitan baju kurung moden,kursus asas penyelenggaraan kenderaan, kursus pembuatan bun, kursus AutoCAD dan kursus Photoshop. Kursus-kursus pendek ini telah dihadiri oleh seramai 120 orang peserta. Peserta-peserta adalah terdiri dari kalangan penduduk setempat di Betong, penjawat awam dari jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong serta dari syarikat swasta seperti Hock Peng Corporation Betong.


Selain dari kursus-kursus pendek terdapat juga aktiviti lain yang dijalankan bagi memeriahkan lagi karnival serta memastikan komuniti setempat turut serta dalam menjayakan karnival. Aktiviti yang dijalankan adalah seperti pertandingan futsal bawah 15 tahun, pertandingan mewarna, pemeriksaan kesihatan oleh pihak Kementerian Kesihatan dan juga pameran dari agensi-agensi seperti Politeknik Metro Betong, Kolej Komuniti Betong, PDRM, Jobs Malaysia dan Jabatan Kesihatan. Pertandingan futsal dan mewarna disertai oleh sekolah di sekitar Betong seperti Sekolah Menengah Kebangsaan St. Augustine, SK Abang Abdul Kadir, SK Pusak, SK Nanga Ajau, SMK Kedit dan lain-lain.

Majlis Perasmian Penutupan Karnival Kolej Komuniti Betong telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Sri Douglas Uggah Embas yang juga merupakan Ahli Parlimen P204 Betong. Majlis tersebut telah diadakan pada 24 Februari 2013 di Dewan Sukan Dato Amar Stephen Kalong Ningkan. Turut hadir pada karnival tersebut adalah YB Lawson Chuat Adun N32 Bukit Saban. Pada majlis tersebut dalam ucap alu-aluan oleh Pengarah Kolej Komuniti Betong, Encik Carlos Mikon Misin menyeru agar penduduk setempat memanafaatkan sepenuhnya kehadiran Kolej Komuniti sebagai hab Pendidikan Sepanjang Hayat (PSH) dengan melibatkan diri dengan kursus-kursus pendek yang dianjurkan oleh pihak Kolej Komuniti. Manakala dalam ucapan perasmian penutupan Dato Sri Douglas mengesa agar pihak Kolej Komuniti membantu penduduk setempat dalam menyediakan kursus-kursus seperti fertigasi, keusahawanan dan pemasaran produk-produk yang dihasilkan oleh industri kampung dan membuat kajian tentang jenis kemahiran yang diperlukan oleh masyarakat Betong dan peluang pekerjaan yang terdapat di Betong.

Sebelum merasmikan majlis tersebut Dato’ Sri Douglas telah dibawa melawat ke khemah-khemah di mana kursus-kursus pendek dijalankan bagi melihat sendiri hasil kerja yang dihasilkan oleh peserta kursus. Beliau juga mencuba mengecat Simen Fero bersama YB Lawson. Selain itu beliau diberi penerangan oleh peserta Asas Penyelenggaraan Kenderaan kerja-kerja yang telah dijalankan sepanjang kursus tersebut. Pada majlis tersebut Dato’ Sri Douglas telah menyampaikan sijil penyertaan kursus dan sijil penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan carnival. Tenaga pengajar bagi kursus pendek ini adalah dari penceramah yang bertauliah dari Kolej Komuniti Betong, Kolej Komuniti Mas Gading, Kolej Komuniti Kuching, Politeknik Kuching dan Pusat Giat MARA Lubok Antu.

Usaha untuk mengendalikan kursus pendek ini tidak akan berhenti setakat ini. Ianya akan diteruskan bagi merealisasikan slogan “Peneraju Komuniti Berilmu dan Berkemahiran”. Semoga dengan adanya karnival ini komuniti setempat akan sedar dan maklum akan fungsi Kolej Komuniti sebagai hab Pendidikan Sepanjang Hayat (PSH).