Sunday, January 16, 2011

Politeknik Mukah







Dalam sibuk dibicarakan tentang pesawat Air Asia tergelincir saya bersama rakan ditugaskan untuk membuat pemeriksaan aset kerajaan untuk dilupus di Politeknik Mukah. Saya pernah pergi ke Mukah kalau tak salah tahun 2003. Itupun untuk berjalan-jalan sahaja. Kalau disebut pergi ke Mukah sebelum ini satu-satunya perkara yang paling tidak digemari kerana keadaan jalanrayanya yang rosak dan dalam pembinaan. Kalau dari Kuching ambil masa 12 jam sedangkan kalau jalan raya dalam keadaan baik lebih kurang 8 jam. Cara paling cepat untuk pergi ke Mukah ialah dengan menaiki twin otter .. pesawat yang boleh membawa hanya belasan penumpang. Ini merupakan kali pertama saya menaiki pesawat ini kalau tak silap saya pesawat yang paling kecil yang saya pernah naiki ialah Fokker yang lebih besar dari twin otter. Apabila saya sampai ke Mukah saya dapati bahawa bandar Mukah telah banyak berubah dan membangun dengan baik sekali. Ramai rakan-rakan yang mengatakan bahawa Politeknik Mukah adalah politeknik yang cantik. Memang benar kerana saya sendiri telah melihatnya. Mukah adalah sebuah bandar yang terancang. Mukah juga adalah sebuah bandar yang terkenal dengan umai, tebaloi dan ikan serta udang yang segar. Isteri awal berpesan jangan lupa beli umai. Agak malang kerana saya dimaklumkan sudah 4 hari tiada ikan kerana musim landas (tengkujuh) dan saya juga dimaklumkan bahawa umai ada 3 perasa kuahnya iaitu dengan belacan, dengan kacang dan original. Berbalik kepada pengalaman menaiki twin otter, saya dapati ia lebih mencabar kerana bunyi bising dari propeller, hayunan dan hentakan yang kuat apabila angin meniup pesawat. Tapi disebalik itu naik twin otter akan memberikan pengalaman yang mana pesawat terbang tidak tinggi dan kita dapat melihat dengan jelas pemandangan sekeliling. Rasanya ini bukan trip terakhir kerana mungkin ada lagi kerja lain di sana.

No comments:

Post a Comment