Tuesday, November 19, 2013

PROGRAM JELAJAH JEJAK MESRA RAKAN ALAM SEKITAR (RAS) 1 MALAYSIA PERINGKAT NEGERI SARAWAK TAHUN 2013





Pada 18 November 2013 (Isnin) satu majlis yang sangat bermakna bagi komuniti parlimen P201 Batang lupar telah diadakan. Majlis tersebut adalah Program Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar 1 Malaysia. Rumah Panjang Munggu Ruan Muton, Pusa telah dipilih untuk menjadi destinasi persinggahan konvoi tersebut. Program Rakan Alam Sekitar (RAS) merupakan inisiatif Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dalam membangunkan kesedaran dan mengerakkan anggota masyarakat dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar.
RAS melibatkan anggota masyarakat scara hands-on iaitu menjadi ‘mata-telinga’ untuk membantu agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam membanteras kegiatan-kegiatan yang merosakkan atau mencemarkan alam sekitar. Program ini merupakan program yang dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar.
Bagi parlimen P201 Batang Lupar, program ini telah digerakkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong yang diketuai oleh Jurutera Bahagian Betong, Puan Hidayati Binti Ismail. Tujuan utama program ini adalah untuk memberikan kesedaran alam sekitar di setiap lapisan masyarakat. Ia juga untuk menanamkan rasa tanggungjawab di kalangan masyarakat untuk bertindak dan mengambil bahagian dalam menjaga alam sekitar yang dikongsi bersama. Program ini juga menyediakan saluran yang tepat bagi masyarakat membuat aduan atau pandangan mengenai alam sekitar kepada agensi-agensi kerajaan berkenaan.
Antara aktiviti-aktiviti yang terlibat bagi program ini adalah gotong-royong oleh penduduk rumah panjang dan juga oleh pensyarah dan pelajar Kolej Komuniti Betong. Gotong-royong dijalankan dengan dilakukan kerja pembersihan di sekitar rumah panjang. Selain dari menanam sifat cintakan kebersihan, aktiviti ini juga dapat merapatkan lagi hubungan di antara penduduk rumah panjang dan agensi kerajaan. Selepas aktiviti gotong-royong selesai, program diteruskan dengan upacara perasmian. Ucapan perasmian telah dilakukan dengan pembacaan teks ucapan Dato’ Sri Rohani Hj Abd Karim, Ahli Parlimen bagi P201 Batang Lupar oleh Encik Saifudin Hj Matsah yang merupakan Setiausaha Sulit YB Dato’ Sri Rohani Hj Abd Karim. Acara kemuncak adalah merupakan majlis simbolik penanaman pokok oleh Encik Saifudin Hj Matsah.
Di dalam program ini penduduk dari rumah panjang dan peserta dari Kolej Komuniti Betong diberi peluang untuk memohon manjadi Rakan Alam Sekitar. Sesungguhnya program ini memberi manafaat kepada semua yang telah hadir di dalam program ini.

Sunday, November 17, 2013

Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) 2013 Kolej Komuniti Betong, KPM

PEMBUDAYAAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT (PSH) SEMPENA
KARNIVAL PSH KOLEJ KOMUNITI BETONG 2013


            Pada 16 dan 17 November 2013 yang lalu, Kolej Komuniti Betong telah menganjurkan Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) 2103. Karnival ini telah diadakan di kampus baru Kolej Komuniti Betong, Kementerian Pendidikan Malaysia beralamat di Lot 2035-2041, Fasa 2, Bandar Baru Betong.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang karnival tersebut. Aktiviti utama semasa Karnival PSH dijalankan ialah kursus pendek. Terdapat 11 kursus pendek yang telah dilaksanakan iaitu kursus pembuatan Homemade Chocolate, kursus pembuatan gelang kristal, kursus pembuatan Crepe buah, Glass Painting, solekan, Printing Baju (Silkscreen), gubahan bunga, gunting rambut, pembuatan Nasi Briyani Ayam, dandan dan Tanaman Cendawan Tiram Kelabu. Seramai hampir 400 orang peserta telah menyertai kursus pendek yang dijalankan yang mana kebanyakan dari mereka adalah komuniti di sekitar  Betong. Kursus-kursus pendek yang dijalankan telah dikendalikan oleh tenaga pengajar yang mahir yang datang dari Kolej Komuniti Kuching, Kolej Komuniti Mas Gading, Kolej Komuniti Santubong, Kolej Komuniti Betong, Chantique, dan Golden Flower Academy.     
Disamping kursus pendek, terdapat juga aktiviti lain yang dijalankan bagi memeriahkan lagi karnival yang dijalankan iaitu pertandingan kugiran, Clash of the Bands yang menampilkan peserta dari Kolej Komuniti Zon Sarawak. Clash of the bands ini telah dijalankan pada 16 November 2013 pada sebelah malam. Pertandingan ini telah diadakan di pentas Medan, Betong. Sambutan yang amat mengalakkan dari penduduk di sekitar Betong yang mana telah turut sama memeriahkan pertandingan. Pertandingan tersebut telah dimenangi oleh pelajar dari Kolej Komuniti Betong. Terdapat juga gerai jualan yang dikendalikan oleh para pelajar dari Kolej Komuniti Zon Sarawak yang mana bertujuan memupuk budaya keusahawan di kalangan pelajar.
Acara kemuncak Karnival PSH ialah majlis perasmian penutupan yang dijalankan pada 17 November 2013 (Ahad). Majlis ini telah diadakan di kampus baru Kolej Komuniti Betong. Majlis telah disempurnakan oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia. Turut sama hadir adalah Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Pegawai Daerah Betong, Encik Friday Belik serta ketua jabatan kerjaan bahagian Betong. Majlis telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Kolej Komuniti Betong, Encik Carlos Mikon Misin dan diikuti oleh Ucapan perasmian penutupan oleh tetamu kehormat iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Dalam ucapan perasmian tersebut beliau telah meminta supaya para peserta yang hadir dalam kursus pendek agar mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari dan cuba untuk memulakan perniagaan. Beliau juga berharap agar Kolej Komuniti memainkan peranan untuk menyakinkan peserta berniaga dengan mengadakan kursus yang berkaitan dengan keusahawanan dan kursus jati diri. Kolej Komuniti juga diminta untuk membantu para peserta mendapatkan bantuan dari agensi yang berkaitan seperti Jabatan Pertanian, Amanah Ikhtiar Malaysia dan lain-lain. Dalam majlis tersebut juga lima agensi yang telah berkolaborasi bersama Kolej Komuniti dalam menjayakan kursus pendek telah diberi penghargaan iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong, Hock Peng Realty, Stesen Mardi Sessang, FELCRA Berhad Betong dan Persatuan Nelayan Layar/Rimbas Pusa.

Sesungguhnya Karnival ini telah mencapai objektifnya di mana penyertaan yang sangat mengalakkan dan malahan mendapat sambutan hangat. Usaha Kolej Komuniti untuk mendekatkan masyarakat dengan kerajaan juga berjaya. Semoga majlis ilmu seperti ini yang akan diadakan pada masa akan datang akan mendapat sambutan. Bagi mereka yang berminat untuk menyertai kursus pendek yang dianjurkan secara individu atau berkumpulan bolehlah menghubungi Kolej Komuniti yang berhampiran dengan anda. Di zon Sarawak terdapat lima buah Kolej Komuniti iaitu Kolej Komuniti Kuching, Kolej Komuniti Mas Gading, Kolej Komuniti Santubong, Kolej Komuniti Betong dan Kolej Komuniti Miri. Sebuah lagi Kolej Komuniti akan beroperasi iaitu Kolej Komuniti Sarikei. 













Tuesday, August 20, 2013

Aidilfitri 2013



1 Syawal datang lagi
8.8.2013 hari Khamis merupakan Hari Raya Aidilfitri yang ke-5 ketiadaan ayah yang telah meninggal pada 25.4.2009. Rasa sungguh sedih dan sayu walaupun tidak dizahirkan. Kehilangannya sangat terasa. Masih teringat bagaimana ayah menghantar ke sekolah, namun ianya hanya kenangan manis yang lalu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya di sana.

Raya tahun ni disambut di Segamat pada raya pertama dan kedua. Banyak destinasi raya kali ini. Raya ke 3 di Kuching, Raya ke-4 di Sibu, raya ke 5 hingga ke 10 di Bintulu dan akhirnya Open House di Betong. meriah dan juga rasa letih. Semoga kemeriahan ini akan berterusan. 



Thursday, July 11, 2013

Program Kolaborasi bersama Persatuan Nelayan Kawasan Layar Rimbas


Pada 6 Julai 2013, Kolej Komuniti Betong telah mengadakan kursus pembuatan kek lapis bercorak. Kursus pendek ini dijalankan secara kolaborasi bersama Persatuan Nelayan Kawasan Layar Rimbas. Seramai 33 orang peserta telah mengikuti kursus ini yang dijalankan di kampus Kolej Komuniti Betong. Para peserta datang dari kawasan Sepaoh, Maludam dan Pusa. Peserta telah didedah dengan ilmu pembuatan beberapa jenis kek lapis seperti kek lapis permata, kek lapis zig zag dan sebagainya.   

Monday, June 10, 2013

Cuti Sekolah Jun 2013

Cuti persekolahan menjelma lagi. Kali ini kami sekeluarga merancang untuk ke Ipoh, Perak. Kami telah bertolak dari Betong pada petang hari Jumaat iaitu sehari sebelum Hari Gawai. Kenderaan agak sibuk almaklum nak cuti.

 
 
Kami telah mengambil penerbangan pada Sabtu 1/6/2013 malam dan tiba pada pukul 9.00 malam. Pada masa tersebut perlawanan separuh akhir ke-2 antara Darul Takzim FC dan Pahang sedang berlangsung yang mana berakhir dengan kemenangan kepada Darul Takzim...KITA TETAP MENANG....

Pada keesokan harinya kami sekeluarga bertolak ke Ipoh. Kami tiba di Ipoh lewat petang. Di Ipoh kami sekeluarga telah mengunjungi Lost World of Tambun. Kemudian pada hari seterusnya kami telah pergi ke Shah Alam untuk pergi ke I-City. Di sana kami menikmati cahaya yang menarik.

 
 
Pada hari seterusnya kami sekeluarga telah pergi ke KL seperti biasa anak saya akan meminta untuk ke KLCC dan bermalam di Quality Hotel City Center bagi memudahkan kerja membeli belah di SOGO. Melaka Wonderland adalah destinasi kami seterusnya. Kami telah bermalam di Ayer Keroh Country Resort. Setelah anak saya menaiki Taming sari kami pun bertolak pulang ke Segamat untuk menjengah Mak di kampung.
 
Insyallah bulan ogos nanti kami sekeluarga akan pulang ke Segamat lagi untuk berhari raya. Dengar kata Pak Ngah Dollah nak menerima menantu hari raya ke-4. Ada rezeki dapatlah merewang.
 
Yang paling gembira adalah anak-anak. Lama dah terkurung di Betong. Moga tak lama di Betong.
 
 

Thursday, April 11, 2013

Majlis Pemerkasaan Kolej Komuniti

Pada bulan Mac yang lalu saya telah terlibat dengan satu majlis iaitu Majlis Pemerkasaan Kolej Komuniti KPTM. Walaupun cuma baru 3 bulan berkhidmat namun terlibat juga sebagai orang kecil dalam majlis ini. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Menteri KPTM. Selain majlis pelancaran juga diadakan kursus pendek iaitu My3L...Long Life Learning. Disamping itu juga diadakan pameran dari beberapa agensi. Sambutan agak mengalakkan. Ada juga artis yang hadir seperti Noh Hujan dan Andeng. Semoga selepas ini Kolej Komuniti akan benar-benar perkasa.








Tuesday, February 26, 2013

KARNIVAL KOLEJ KOMUNITI BETONG 2013

Karnival Kolej Komuniti Betong 2013 merupakan karnival yang julung kalinya diadakan bagi mempromosikan Kolej Komuniti kepada masyarakat setempat. Karnival tersebut telah dijalankan pada 23 dan 24 Februari 2013 yang lalu. Kolej Komuniti yang terkenal dengan slogan “Peneraju Komuniti Berilmu dan Berkemahiran” telah mengisi karnival dengan kursus-kursus pendek. Antara kursus-kursus pendek yang terlibat ialah kursus pembuatan simen fero, kursus pembuatan muffin dan cup cake, Kursus jahitan manik, kursus jahitan baju kurung moden,kursus asas penyelenggaraan kenderaan, kursus pembuatan bun, kursus AutoCAD dan kursus Photoshop. Kursus-kursus pendek ini telah dihadiri oleh seramai 120 orang peserta. Peserta-peserta adalah terdiri dari kalangan penduduk setempat di Betong, penjawat awam dari jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong serta dari syarikat swasta seperti Hock Peng Corporation Betong.


Selain dari kursus-kursus pendek terdapat juga aktiviti lain yang dijalankan bagi memeriahkan lagi karnival serta memastikan komuniti setempat turut serta dalam menjayakan karnival. Aktiviti yang dijalankan adalah seperti pertandingan futsal bawah 15 tahun, pertandingan mewarna, pemeriksaan kesihatan oleh pihak Kementerian Kesihatan dan juga pameran dari agensi-agensi seperti Politeknik Metro Betong, Kolej Komuniti Betong, PDRM, Jobs Malaysia dan Jabatan Kesihatan. Pertandingan futsal dan mewarna disertai oleh sekolah di sekitar Betong seperti Sekolah Menengah Kebangsaan St. Augustine, SK Abang Abdul Kadir, SK Pusak, SK Nanga Ajau, SMK Kedit dan lain-lain.

Majlis Perasmian Penutupan Karnival Kolej Komuniti Betong telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Sri Douglas Uggah Embas yang juga merupakan Ahli Parlimen P204 Betong. Majlis tersebut telah diadakan pada 24 Februari 2013 di Dewan Sukan Dato Amar Stephen Kalong Ningkan. Turut hadir pada karnival tersebut adalah YB Lawson Chuat Adun N32 Bukit Saban. Pada majlis tersebut dalam ucap alu-aluan oleh Pengarah Kolej Komuniti Betong, Encik Carlos Mikon Misin menyeru agar penduduk setempat memanafaatkan sepenuhnya kehadiran Kolej Komuniti sebagai hab Pendidikan Sepanjang Hayat (PSH) dengan melibatkan diri dengan kursus-kursus pendek yang dianjurkan oleh pihak Kolej Komuniti. Manakala dalam ucapan perasmian penutupan Dato Sri Douglas mengesa agar pihak Kolej Komuniti membantu penduduk setempat dalam menyediakan kursus-kursus seperti fertigasi, keusahawanan dan pemasaran produk-produk yang dihasilkan oleh industri kampung dan membuat kajian tentang jenis kemahiran yang diperlukan oleh masyarakat Betong dan peluang pekerjaan yang terdapat di Betong.

Sebelum merasmikan majlis tersebut Dato’ Sri Douglas telah dibawa melawat ke khemah-khemah di mana kursus-kursus pendek dijalankan bagi melihat sendiri hasil kerja yang dihasilkan oleh peserta kursus. Beliau juga mencuba mengecat Simen Fero bersama YB Lawson. Selain itu beliau diberi penerangan oleh peserta Asas Penyelenggaraan Kenderaan kerja-kerja yang telah dijalankan sepanjang kursus tersebut. Pada majlis tersebut Dato’ Sri Douglas telah menyampaikan sijil penyertaan kursus dan sijil penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan carnival. Tenaga pengajar bagi kursus pendek ini adalah dari penceramah yang bertauliah dari Kolej Komuniti Betong, Kolej Komuniti Mas Gading, Kolej Komuniti Kuching, Politeknik Kuching dan Pusat Giat MARA Lubok Antu.

Usaha untuk mengendalikan kursus pendek ini tidak akan berhenti setakat ini. Ianya akan diteruskan bagi merealisasikan slogan “Peneraju Komuniti Berilmu dan Berkemahiran”. Semoga dengan adanya karnival ini komuniti setempat akan sedar dan maklum akan fungsi Kolej Komuniti sebagai hab Pendidikan Sepanjang Hayat (PSH).