Tuesday, November 19, 2013

PROGRAM JELAJAH JEJAK MESRA RAKAN ALAM SEKITAR (RAS) 1 MALAYSIA PERINGKAT NEGERI SARAWAK TAHUN 2013





Pada 18 November 2013 (Isnin) satu majlis yang sangat bermakna bagi komuniti parlimen P201 Batang lupar telah diadakan. Majlis tersebut adalah Program Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar 1 Malaysia. Rumah Panjang Munggu Ruan Muton, Pusa telah dipilih untuk menjadi destinasi persinggahan konvoi tersebut. Program Rakan Alam Sekitar (RAS) merupakan inisiatif Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dalam membangunkan kesedaran dan mengerakkan anggota masyarakat dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar.
RAS melibatkan anggota masyarakat scara hands-on iaitu menjadi ‘mata-telinga’ untuk membantu agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam membanteras kegiatan-kegiatan yang merosakkan atau mencemarkan alam sekitar. Program ini merupakan program yang dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar.
Bagi parlimen P201 Batang Lupar, program ini telah digerakkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong yang diketuai oleh Jurutera Bahagian Betong, Puan Hidayati Binti Ismail. Tujuan utama program ini adalah untuk memberikan kesedaran alam sekitar di setiap lapisan masyarakat. Ia juga untuk menanamkan rasa tanggungjawab di kalangan masyarakat untuk bertindak dan mengambil bahagian dalam menjaga alam sekitar yang dikongsi bersama. Program ini juga menyediakan saluran yang tepat bagi masyarakat membuat aduan atau pandangan mengenai alam sekitar kepada agensi-agensi kerajaan berkenaan.
Antara aktiviti-aktiviti yang terlibat bagi program ini adalah gotong-royong oleh penduduk rumah panjang dan juga oleh pensyarah dan pelajar Kolej Komuniti Betong. Gotong-royong dijalankan dengan dilakukan kerja pembersihan di sekitar rumah panjang. Selain dari menanam sifat cintakan kebersihan, aktiviti ini juga dapat merapatkan lagi hubungan di antara penduduk rumah panjang dan agensi kerajaan. Selepas aktiviti gotong-royong selesai, program diteruskan dengan upacara perasmian. Ucapan perasmian telah dilakukan dengan pembacaan teks ucapan Dato’ Sri Rohani Hj Abd Karim, Ahli Parlimen bagi P201 Batang Lupar oleh Encik Saifudin Hj Matsah yang merupakan Setiausaha Sulit YB Dato’ Sri Rohani Hj Abd Karim. Acara kemuncak adalah merupakan majlis simbolik penanaman pokok oleh Encik Saifudin Hj Matsah.
Di dalam program ini penduduk dari rumah panjang dan peserta dari Kolej Komuniti Betong diberi peluang untuk memohon manjadi Rakan Alam Sekitar. Sesungguhnya program ini memberi manafaat kepada semua yang telah hadir di dalam program ini.

Sunday, November 17, 2013

Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) 2013 Kolej Komuniti Betong, KPM

PEMBUDAYAAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT (PSH) SEMPENA
KARNIVAL PSH KOLEJ KOMUNITI BETONG 2013


            Pada 16 dan 17 November 2013 yang lalu, Kolej Komuniti Betong telah menganjurkan Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) 2103. Karnival ini telah diadakan di kampus baru Kolej Komuniti Betong, Kementerian Pendidikan Malaysia beralamat di Lot 2035-2041, Fasa 2, Bandar Baru Betong.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang karnival tersebut. Aktiviti utama semasa Karnival PSH dijalankan ialah kursus pendek. Terdapat 11 kursus pendek yang telah dilaksanakan iaitu kursus pembuatan Homemade Chocolate, kursus pembuatan gelang kristal, kursus pembuatan Crepe buah, Glass Painting, solekan, Printing Baju (Silkscreen), gubahan bunga, gunting rambut, pembuatan Nasi Briyani Ayam, dandan dan Tanaman Cendawan Tiram Kelabu. Seramai hampir 400 orang peserta telah menyertai kursus pendek yang dijalankan yang mana kebanyakan dari mereka adalah komuniti di sekitar  Betong. Kursus-kursus pendek yang dijalankan telah dikendalikan oleh tenaga pengajar yang mahir yang datang dari Kolej Komuniti Kuching, Kolej Komuniti Mas Gading, Kolej Komuniti Santubong, Kolej Komuniti Betong, Chantique, dan Golden Flower Academy.     
Disamping kursus pendek, terdapat juga aktiviti lain yang dijalankan bagi memeriahkan lagi karnival yang dijalankan iaitu pertandingan kugiran, Clash of the Bands yang menampilkan peserta dari Kolej Komuniti Zon Sarawak. Clash of the bands ini telah dijalankan pada 16 November 2013 pada sebelah malam. Pertandingan ini telah diadakan di pentas Medan, Betong. Sambutan yang amat mengalakkan dari penduduk di sekitar Betong yang mana telah turut sama memeriahkan pertandingan. Pertandingan tersebut telah dimenangi oleh pelajar dari Kolej Komuniti Betong. Terdapat juga gerai jualan yang dikendalikan oleh para pelajar dari Kolej Komuniti Zon Sarawak yang mana bertujuan memupuk budaya keusahawan di kalangan pelajar.
Acara kemuncak Karnival PSH ialah majlis perasmian penutupan yang dijalankan pada 17 November 2013 (Ahad). Majlis ini telah diadakan di kampus baru Kolej Komuniti Betong. Majlis telah disempurnakan oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia. Turut sama hadir adalah Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Pegawai Daerah Betong, Encik Friday Belik serta ketua jabatan kerjaan bahagian Betong. Majlis telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Kolej Komuniti Betong, Encik Carlos Mikon Misin dan diikuti oleh Ucapan perasmian penutupan oleh tetamu kehormat iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Dalam ucapan perasmian tersebut beliau telah meminta supaya para peserta yang hadir dalam kursus pendek agar mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari dan cuba untuk memulakan perniagaan. Beliau juga berharap agar Kolej Komuniti memainkan peranan untuk menyakinkan peserta berniaga dengan mengadakan kursus yang berkaitan dengan keusahawanan dan kursus jati diri. Kolej Komuniti juga diminta untuk membantu para peserta mendapatkan bantuan dari agensi yang berkaitan seperti Jabatan Pertanian, Amanah Ikhtiar Malaysia dan lain-lain. Dalam majlis tersebut juga lima agensi yang telah berkolaborasi bersama Kolej Komuniti dalam menjayakan kursus pendek telah diberi penghargaan iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong, Hock Peng Realty, Stesen Mardi Sessang, FELCRA Berhad Betong dan Persatuan Nelayan Layar/Rimbas Pusa.

Sesungguhnya Karnival ini telah mencapai objektifnya di mana penyertaan yang sangat mengalakkan dan malahan mendapat sambutan hangat. Usaha Kolej Komuniti untuk mendekatkan masyarakat dengan kerajaan juga berjaya. Semoga majlis ilmu seperti ini yang akan diadakan pada masa akan datang akan mendapat sambutan. Bagi mereka yang berminat untuk menyertai kursus pendek yang dianjurkan secara individu atau berkumpulan bolehlah menghubungi Kolej Komuniti yang berhampiran dengan anda. Di zon Sarawak terdapat lima buah Kolej Komuniti iaitu Kolej Komuniti Kuching, Kolej Komuniti Mas Gading, Kolej Komuniti Santubong, Kolej Komuniti Betong dan Kolej Komuniti Miri. Sebuah lagi Kolej Komuniti akan beroperasi iaitu Kolej Komuniti Sarikei.