Thursday, March 27, 2014

Cuti Sekolah di Brunei Darussalam













Cuti sekolah selama seminggu kali ini tidak disia-siakan. Kesempatan ini melawat sebuah negara Islam iaitu Brunei, Suka melihat masjid-masjid yang indah. Apabila menikmati Burger King tiada cukai kerajaan. Sebuah negara Islam yang penuh dengan amalan Islam di stesen radio mau pun rancangan TV.

Thursday, March 20, 2014

Kursus Pendek PSH Tahun 2014 Kolej Komuniti Betong



Belajar adalah satu proses yang tiada pengakhirannya. Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke negara China. Tahun 2014 telah bermula dengan baik. Kursus-kursus pendek yang dianjurkan oleh Kolej Komuniti Betong mendapat sambutan. Rebutlah peluang yang ada. 

Sunday, March 16, 2014

Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH)

Idea pelaksanaannya adalah dari ucapan Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada Perhimpunan Agung UMNO pada 7 Disember 2013. Program yang dicetuskan oleh TPM adalah Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH). Program ini adalah tujuan utamanya adalah menyebarluaskan pengetahuan ilmu kefahaman kita tentang islam. PISH ini bukan sahaja terfokus kepada ilmu fardu ain dan fardu kifayah malahan juga merangkumi ilmu kemahiran dan keusahawanan. Golongan sasaran adalah belia, pelajar di sekolah agama rakyat atau sekolah pondok, institusi keagamaan seperti surau dan masjid dan juga komuniti setempat.

Pihak Kolej Komuniti Betong telah terpanggil untuk menganjurkan program PISH ini. Pada 13 hingga 16 Mac 2014 satu program yang dipanggil JOM IMARAH MASJID telah dilaksanakan. Program ini telah mendapat kerjasama dari Masjid Jamek Betong, Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Betong (JAIS) dan Jabatan Pertanian Bahagian Betong.








Program JOM IMARAH MASJID melibatkan beberapa aktiviti antaranya ialah kursus penyembelihan halal yang diadakan pada 13 Mac 2014 yang dikendalikan oleh Ustaz Affandi Bin Ismail dari JAIS. Kursus ini melibatkan kuliah dan praktikal bagaimana cara penyembelihan ayam, itik dan kambing yang memenuhi tuntutan syarak. Pada sebelah malam satu kuliah masjid yang bertajuk “Dari mana hendak ke mana” turut diadakan. Majlis juga diisi dengan solat hajat bagi mendoakan penerbangan Malaysia MH370. Selain dari program berbentuk keagamaan, aktiviti kursus pendek kemahiran turut dilaksanakan. Di antara kursus yang dijalankan ialah kursus nasi briyani yang dikendalikan oleh Puan Latifah Yasok pada 13 Mac 2014, kursus Pembuatan Simen Fero yang dikendalikan oleh Encik Joehari dari Kolej Komuniti Betong pada 15 & 16 Mac 2014 dan Kursus Pembuatan Kek Lapis yang dikendalikan oleh Puan Norhayati Binti Arbee dari KEMAS Betong pada 16 Mac 2014. Seramai 80 peserta telah hadir bagi kursus-kursus berkenaan.
Upacara penutupan program telah dijalankan di Masjid Jamek Betong pada 16 Mac 2014 yang telah dirasmikan penutupannya oleh Pengarah Kolej Komuniti Betong, Encik Carlos Mikon Misin. Program seumpama ini akan diteruskan lagi di kawasan lain di bahagian Betong pada masa akan datang.

Thursday, February 13, 2014

Kursus Pembuatan Simen Fero di MARDI Saratok, Sessang.


Pada 11 & 12 Februari lalu, pihak Kolej Komuniti Betong telah melaksanakan kursus pendek bagi staf MARDI Saratok. Kursus selama 2 hari ini telah dihadiri oleh 20 orang peserta. Kursus telah dikendalikan oleh Encik Joehari, pensyarah dari Kolej Komuniti Betong.
Pada hari pertama, peserta telah diajar cara untuk mengikat rangka simen fero.
Kemudian kerja pembancuhan simen bermula dan bermulalah melepar simen.

Kemudian kerja kreativiti bermula.

Hari Kedua kerja-kerja finishing berjalan.



Banyak faedah didapati dari program ini. Selain menyampaikan ilmu, persahabatan turut dijalinkan. Semoga program ini dapat diteruskan di masa akan datang.

** Berminat dengan penanaman hidroponik dan aquaponik

Aquaponik : di bahagian bawah ternak ikan di atas tanam sayur 2 in 1

Sunday, January 26, 2014

Crunchy donut

Pada 25 Januari 2014 yang lalu, Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Kolej Komuniti Betong telah melapangkan diri untuk bertandang ke MRSM Betong.
Kami telah dijemput untuk mengadakan kursus pendek bagi memenuhi aktiviti keusahawanan. Kami telah mengadakan beberapa kursus pendek yang mana kemahiran tersebut boleh digunakan oleh pelajar apabila membuka gerai jualan. Seramai 95 orang peserta telah terlibat.  
Kursus yang kami jalankan adalah antaranya:
1.       Pembuatan cup cake dan cocktail
2.       Pembuatan begedil daging, homemade spagethi dan crunchy donat
3.       Paper craft


Selain dari mengajar cara menyediakan, kami juga menerapkan serba sedikit ilmu keusahawanan seperti bagaimana untuk mengira untung dan rugi sebagai contoh mengira kos pembuatan crunchy donat di mana didapai kosnya adalah RM4.80 seadunan dan boleh menghasilkan sebanyak 24 biji donat. Sekiranya dijual RM1 bagi 3 biji maka keuntungan adalah (24/3 x RM1) – RM 4.80 = RM 3.20

Crunchy Donut
Bahan-bahan
1.      Butter  block
2.      2 cawan tepung gandum atau tepung serbaguna berpenaik
3.      1 biji telur
4.      2 cawan air
5.      1 sudu teh esen vanilla
6.      Gula ising
7.      Minyak masak

Cara menyediakan
1.      Cairkan butter bersama air dan masukkan sedikit esen vanilla
2.      Setelah cair masukkan tepung secukupnya
3.      Setelah sebati tutup api dan masukkan 1 biji telur
4.      Ulikan dan tambah tepung sekiranya perlu
5.      Cetak menggunakan acuan donat
6.      Gorengkan dan taburkan gula ising pada donat yang telah digoreng tadi



Tuesday, November 19, 2013

PROGRAM JELAJAH JEJAK MESRA RAKAN ALAM SEKITAR (RAS) 1 MALAYSIA PERINGKAT NEGERI SARAWAK TAHUN 2013





Pada 18 November 2013 (Isnin) satu majlis yang sangat bermakna bagi komuniti parlimen P201 Batang lupar telah diadakan. Majlis tersebut adalah Program Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar 1 Malaysia. Rumah Panjang Munggu Ruan Muton, Pusa telah dipilih untuk menjadi destinasi persinggahan konvoi tersebut. Program Rakan Alam Sekitar (RAS) merupakan inisiatif Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dalam membangunkan kesedaran dan mengerakkan anggota masyarakat dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar.
RAS melibatkan anggota masyarakat scara hands-on iaitu menjadi ‘mata-telinga’ untuk membantu agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam membanteras kegiatan-kegiatan yang merosakkan atau mencemarkan alam sekitar. Program ini merupakan program yang dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar.
Bagi parlimen P201 Batang Lupar, program ini telah digerakkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong yang diketuai oleh Jurutera Bahagian Betong, Puan Hidayati Binti Ismail. Tujuan utama program ini adalah untuk memberikan kesedaran alam sekitar di setiap lapisan masyarakat. Ia juga untuk menanamkan rasa tanggungjawab di kalangan masyarakat untuk bertindak dan mengambil bahagian dalam menjaga alam sekitar yang dikongsi bersama. Program ini juga menyediakan saluran yang tepat bagi masyarakat membuat aduan atau pandangan mengenai alam sekitar kepada agensi-agensi kerajaan berkenaan.
Antara aktiviti-aktiviti yang terlibat bagi program ini adalah gotong-royong oleh penduduk rumah panjang dan juga oleh pensyarah dan pelajar Kolej Komuniti Betong. Gotong-royong dijalankan dengan dilakukan kerja pembersihan di sekitar rumah panjang. Selain dari menanam sifat cintakan kebersihan, aktiviti ini juga dapat merapatkan lagi hubungan di antara penduduk rumah panjang dan agensi kerajaan. Selepas aktiviti gotong-royong selesai, program diteruskan dengan upacara perasmian. Ucapan perasmian telah dilakukan dengan pembacaan teks ucapan Dato’ Sri Rohani Hj Abd Karim, Ahli Parlimen bagi P201 Batang Lupar oleh Encik Saifudin Hj Matsah yang merupakan Setiausaha Sulit YB Dato’ Sri Rohani Hj Abd Karim. Acara kemuncak adalah merupakan majlis simbolik penanaman pokok oleh Encik Saifudin Hj Matsah.
Di dalam program ini penduduk dari rumah panjang dan peserta dari Kolej Komuniti Betong diberi peluang untuk memohon manjadi Rakan Alam Sekitar. Sesungguhnya program ini memberi manafaat kepada semua yang telah hadir di dalam program ini.

Sunday, November 17, 2013

Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) 2013 Kolej Komuniti Betong, KPM

PEMBUDAYAAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT (PSH) SEMPENA
KARNIVAL PSH KOLEJ KOMUNITI BETONG 2013


            Pada 16 dan 17 November 2013 yang lalu, Kolej Komuniti Betong telah menganjurkan Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) 2103. Karnival ini telah diadakan di kampus baru Kolej Komuniti Betong, Kementerian Pendidikan Malaysia beralamat di Lot 2035-2041, Fasa 2, Bandar Baru Betong.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang karnival tersebut. Aktiviti utama semasa Karnival PSH dijalankan ialah kursus pendek. Terdapat 11 kursus pendek yang telah dilaksanakan iaitu kursus pembuatan Homemade Chocolate, kursus pembuatan gelang kristal, kursus pembuatan Crepe buah, Glass Painting, solekan, Printing Baju (Silkscreen), gubahan bunga, gunting rambut, pembuatan Nasi Briyani Ayam, dandan dan Tanaman Cendawan Tiram Kelabu. Seramai hampir 400 orang peserta telah menyertai kursus pendek yang dijalankan yang mana kebanyakan dari mereka adalah komuniti di sekitar  Betong. Kursus-kursus pendek yang dijalankan telah dikendalikan oleh tenaga pengajar yang mahir yang datang dari Kolej Komuniti Kuching, Kolej Komuniti Mas Gading, Kolej Komuniti Santubong, Kolej Komuniti Betong, Chantique, dan Golden Flower Academy.     
Disamping kursus pendek, terdapat juga aktiviti lain yang dijalankan bagi memeriahkan lagi karnival yang dijalankan iaitu pertandingan kugiran, Clash of the Bands yang menampilkan peserta dari Kolej Komuniti Zon Sarawak. Clash of the bands ini telah dijalankan pada 16 November 2013 pada sebelah malam. Pertandingan ini telah diadakan di pentas Medan, Betong. Sambutan yang amat mengalakkan dari penduduk di sekitar Betong yang mana telah turut sama memeriahkan pertandingan. Pertandingan tersebut telah dimenangi oleh pelajar dari Kolej Komuniti Betong. Terdapat juga gerai jualan yang dikendalikan oleh para pelajar dari Kolej Komuniti Zon Sarawak yang mana bertujuan memupuk budaya keusahawan di kalangan pelajar.
Acara kemuncak Karnival PSH ialah majlis perasmian penutupan yang dijalankan pada 17 November 2013 (Ahad). Majlis ini telah diadakan di kampus baru Kolej Komuniti Betong. Majlis telah disempurnakan oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia. Turut sama hadir adalah Residen Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Pegawai Daerah Betong, Encik Friday Belik serta ketua jabatan kerjaan bahagian Betong. Majlis telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Kolej Komuniti Betong, Encik Carlos Mikon Misin dan diikuti oleh Ucapan perasmian penutupan oleh tetamu kehormat iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Dalam ucapan perasmian tersebut beliau telah meminta supaya para peserta yang hadir dalam kursus pendek agar mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari dan cuba untuk memulakan perniagaan. Beliau juga berharap agar Kolej Komuniti memainkan peranan untuk menyakinkan peserta berniaga dengan mengadakan kursus yang berkaitan dengan keusahawanan dan kursus jati diri. Kolej Komuniti juga diminta untuk membantu para peserta mendapatkan bantuan dari agensi yang berkaitan seperti Jabatan Pertanian, Amanah Ikhtiar Malaysia dan lain-lain. Dalam majlis tersebut juga lima agensi yang telah berkolaborasi bersama Kolej Komuniti dalam menjayakan kursus pendek telah diberi penghargaan iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong, Hock Peng Realty, Stesen Mardi Sessang, FELCRA Berhad Betong dan Persatuan Nelayan Layar/Rimbas Pusa.

Sesungguhnya Karnival ini telah mencapai objektifnya di mana penyertaan yang sangat mengalakkan dan malahan mendapat sambutan hangat. Usaha Kolej Komuniti untuk mendekatkan masyarakat dengan kerajaan juga berjaya. Semoga majlis ilmu seperti ini yang akan diadakan pada masa akan datang akan mendapat sambutan. Bagi mereka yang berminat untuk menyertai kursus pendek yang dianjurkan secara individu atau berkumpulan bolehlah menghubungi Kolej Komuniti yang berhampiran dengan anda. Di zon Sarawak terdapat lima buah Kolej Komuniti iaitu Kolej Komuniti Kuching, Kolej Komuniti Mas Gading, Kolej Komuniti Santubong, Kolej Komuniti Betong dan Kolej Komuniti Miri. Sebuah lagi Kolej Komuniti akan beroperasi iaitu Kolej Komuniti Sarikei.